Batu Belah Batu Bertangkup
Selamat pagi saya ucapkan kepada guru besar,
para hakim, guru-guru dan kawan-kawan sekalian yang dihormati. Pada hari ini,
saya ingin menceritakan sebuah cerita yang bertajuk “Batu Belah Batu
Bertangkup”, “Batu Belah Batu Bertangkup”.
Pada
zaman dahulu, tinggal sebuah keluarga yang miskin di hujung sebuah kampung.
Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah yang beratapkan nipah dan
berdindingkan buluh. Mereka ialah Mak Tanjung dan anak-anaknya, Melur dan
Pekan. Sejak suaminya meninggal dunia, Mak Tanjung menjadi muram dan pendiam.
Dia asyik bersedih hati. Kerjanya mencari akar kayu untuk dibuat ubat juga
diabaikan. Akibatnya, hidup Mak Tanjung sekeluarga bertambah daif.
Pada
suatu hari, Mak Tanjung mengidamkan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke
sungai untuk menangguknya. Bukan main suka hatinya apabila dapat menangguk
seekor ikan tembakul yang besar setelah bermandi peluh mencuba selama beberapa
jam. “Sudah lama aku tidak makan telur ikan tembakul,” kata Mak Tanjung.
“Telur
ikan tembakul amat sedap. Aku tidak sabar untuk makan telurnya,” kata Mak
Tanjung. Dia berjalan dengan secepat yang mungkin untuk pulang ke rumahnya.
Setibanya di rumah, Mak Tanjung memberikan ikan tembakul kepada anaknya, Melur.
“Wah, emak dapat ikan tembakul!” kata Melur dengan girang. Pekan yang berada di
sisi Melur turut bersorak sama.
“Gulailah
ikan tembakul ini. Simpan telur ikan ini untuk emak. Jangan habiskan
kesemuanya,” pesan Mak Tanjung. Kemudian, Mak Tanjung keluar mencari akar kayu
di hutan. Melur pun segera memasak gulai ikan tembakul. Melur teringat akan
pesanan ibunya tadi. Bau gulai ikan tembakul yang harum dan menyelerakan itu
menyebabkan Pekan berasa lapar.
Setelah
gulai ikan tembakul siap dimasak, Pekan berjumpa kakaknya. Pecan mengadu dia
lapar. “Pekan mahu makan, kak,” rayu Pekan dengan nada yang simpati.
“Tunggulah
sehingga emak balik. Kita makan bersama emak,” pujuk Melur. Pecan tetap
berdegil dan menjerit-jerit mahu makan. Melur berasa serba salah.
Setelah
malam menjelma, Mak Tanjung masih belum pulang juga. Melur berasa lapar juga.
“Mari kita makan dahulu, dik,” ajak Melur kepada Pekan. Mereka pun makan
bersama-sama dengan berselera.
Melur
memberitahu pesanan ibu mereka kepada adiknya. Malangnya Pekan makan semua
telur ikan tembakul.
Tidak
lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang dari hutan. Dia teringin hendak memakan
telur ikan tembakul. “Mana telur ikan tembakul?” tanya ibu Melur. Melur berasa
serba salah untuk memberitahu emaknya.
“Sudah
habis, emak. Pekan makan semuanya,” jawab Melur perlahan. Mak Tanjung berasa
sedih. “Sampai hati kamu berdua buat emak begini,” kata Mak Tanjung sambil
menangis. Hati Mak Tanjung terasa remuk-redam bagai ‘kaca terhempas ke batu’.
Mak
Tanjung berlari ke arah batu berpuaka yang menjadi igauan penduduk kampong,
batu belah batu bertangkup. Melur dan Pekan cuba menahan emak mereka tetapi
gagal.
“Batu
belah batu bertangkup, makanlah aku, telankan aku. Aku kempunan telur ikan
tembakul. Anakku pula tidak mendengar pesananku,” kata Mak Tanjung sambil
menangis. Groom…groom…groom batu belah bersuara. Melur dan Pekan berlari sekuat
hati sambil menjerit meminta emak mereka agar jangan meninggalkan mereka. “Emak
… emak .. jangan tinggalkan Melur dan Pekan. Emak …emak…Namun, apabila mereka
sampai, batu berpuaka itu sudah tertangkup. Bayangan ibu mereka sudah tiada.
Melur
dan Pekan menangis teresak-esak. Mereka menyesal kerana tidak mendengar pesanan
emak mereka. Kini, mereka kehilangan emak yang mereka sayangi.
Sidang hadirin,
Pengajaran
yang boleh kita pelajari daripada cerita ini ialah kita haruslah mendengar
arahan dan pesanan ibu bapa kita. Jangan sesekali meningkari arahan dan pesanan
mereka. Selain itu, kita juga janganlah bersifat tamak kerana orang yang tamak
selalu rugi.
Sekian, terima kasih.