Batu Belah Batu Bertangkup

Selamat pagi saya ucapkan kepada guru besar, para hakim, guru-guru dan kawan-kawan sekalian yang dihormati. Pada hari ini, saya ingin menceritakan sebuah cerita yang bertajuk “Batu Belah Batu Bertangkup”, “Batu Belah Batu Bertangkup”.

            Pada zaman dahulu, tinggal sebuah keluarga yang miskin di hujung sebuah kampung. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah yang beratapkan nipah dan berdindingkan buluh. Mereka ialah Mak Tanjung dan anak-anaknya, Melur dan Pekan. Sejak suaminya meninggal dunia, Mak Tanjung menjadi muram dan pendiam. Dia asyik bersedih hati. Kerjanya mencari akar kayu untuk dibuat ubat juga diabaikan. Akibatnya, hidup Mak Tanjung sekeluarga bertambah daif.

            Pada suatu hari, Mak Tanjung mengidamkan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangguknya. Bukan main suka hatinya apabila dapat menangguk seekor ikan tembakul yang besar setelah bermandi peluh mencuba selama beberapa jam. “Sudah lama aku tidak makan telur ikan tembakul,” kata Mak Tanjung.

            “Telur ikan tembakul amat sedap. Aku tidak sabar untuk makan telurnya,” kata Mak Tanjung. Dia berjalan dengan secepat yang mungkin untuk pulang ke rumahnya. Setibanya di rumah, Mak Tanjung memberikan ikan tembakul kepada anaknya, Melur. “Wah, emak dapat ikan tembakul!” kata Melur dengan girang. Pekan yang berada di sisi Melur turut bersorak sama.

            “Gulailah ikan tembakul ini. Simpan telur ikan ini untuk emak. Jangan habiskan kesemuanya,” pesan Mak Tanjung. Kemudian, Mak Tanjung keluar mencari akar kayu di hutan. Melur pun segera memasak gulai ikan tembakul. Melur teringat akan pesanan ibunya tadi. Bau gulai ikan tembakul yang harum dan menyelerakan itu menyebabkan Pekan berasa lapar.

            Setelah gulai ikan tembakul siap dimasak, Pekan berjumpa kakaknya. Pecan mengadu dia lapar. “Pekan mahu makan, kak,” rayu Pekan dengan nada yang simpati.

            “Tunggulah sehingga emak balik. Kita makan bersama emak,” pujuk Melur. Pecan tetap berdegil dan menjerit-jerit mahu makan. Melur berasa serba salah.

            Setelah malam menjelma, Mak Tanjung masih belum pulang juga. Melur berasa lapar juga. “Mari kita makan dahulu, dik,” ajak Melur kepada Pekan. Mereka pun makan bersama-sama dengan berselera.

            Melur memberitahu pesanan ibu mereka kepada adiknya. Malangnya Pekan makan semua telur ikan tembakul.

            Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang dari hutan. Dia teringin hendak memakan telur ikan tembakul. “Mana telur ikan tembakul?” tanya ibu Melur. Melur berasa serba salah untuk memberitahu emaknya.

            “Sudah habis, emak. Pekan makan semuanya,” jawab Melur perlahan. Mak Tanjung berasa sedih. “Sampai hati kamu berdua buat emak begini,” kata Mak Tanjung sambil menangis. Hati Mak Tanjung terasa remuk-redam bagai ‘kaca terhempas ke batu’.

            Mak Tanjung berlari ke arah batu berpuaka yang menjadi igauan penduduk kampong, batu belah batu bertangkup. Melur dan Pekan cuba menahan emak mereka tetapi gagal.

            “Batu belah batu bertangkup, makanlah aku, telankan aku. Aku kempunan telur ikan tembakul. Anakku pula tidak mendengar pesananku,” kata Mak Tanjung sambil menangis. Groom…groom…groom batu belah bersuara. Melur dan Pekan berlari sekuat hati sambil menjerit meminta emak mereka agar jangan meninggalkan mereka. “Emak … emak .. jangan tinggalkan Melur dan Pekan. Emak …emak…Namun, apabila mereka sampai, batu berpuaka itu sudah tertangkup. Bayangan ibu mereka sudah tiada.

            Melur dan Pekan menangis teresak-esak. Mereka menyesal kerana tidak mendengar pesanan emak mereka. Kini, mereka kehilangan emak yang mereka sayangi.

Sidang hadirin,

            Pengajaran yang boleh kita pelajari daripada cerita ini ialah kita haruslah mendengar arahan dan pesanan ibu bapa kita. Jangan sesekali meningkari arahan dan pesanan mereka. Selain itu, kita juga janganlah bersifat tamak kerana orang yang tamak selalu rugi.

Sekian, terima kasih.